Sponsor Ads

Jumaat, 21 November 2008

Sinopsis Penanaman Cili Fertigasi

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Di sini saya ringkaskan mengenai penanaman cili fertigasi untuk rujukan bersama.
Satu musim pokok cili kalau ikutkan orang tua dulu dulu boleh sampai lebih 1 tahun dan pokok boleh naik tinggi lebih dari ketinggian manusia, siap guna tangga nak petik cili besar tu.Tetapi di peringkat komersil, kita menghadkan tempoh tanaman kepada 6 bulan satu musim bergantung kepada tahap ketahanan pokok pada penyakit serta kadar serangan penyakit. Ianya boleh disingkatkan lagi tapi tidak digalakkan untuk dipanjangkan tempoh tanaman.

Tempoh untuk semaian di tray antara 2-3 minggu dan lepas tu dipindahkan ke polibeg. Pokok akan membesar di polibeg antara 5-6 bulan. Setelah pokok dipindahkan ke polibeg, penggunaan baja fertigasi AB perlu dimulakan tetapi dengan kadar 1.5 ec pengukuran baja menggunakan EC Meter. Ia akan mengambil masa lebih kurang 1 bulan untuk mengeluarkan putik bunga pertama di setiap cabang yang terjadi. Untuk membesarkan buah sehingga bertukar merah boleh dijual memerlukan tempoh lebih kurang 3 bulan setelah dipindahkan dari tray ke polibeg. Pada peringkat ini penggunaan baja adalah antara 2.0 ke 2.5 EC. Ini bermakna pada penghujung bulan ke tiga setelah dipindahkan hasil tuaian pertama di cabang permulaan boleh dipetik dan di jual.

Tuaian boleh dilakukan antara 2-3 kali seminggu bagi setiap pokok bergantung kepada permintaan pelanggan di cabang seterusnya. Tuaian boleh dilakukan sehingga pokok berusia 6 bulan di dalam polibeg. Ini bermakna 3 minggu semaian, 3 bulan tanam dan 3 bulan tuai dan jual hasil. Pendapatan hanya boleh diperolehi pada peringkat 3 bulan cili besar boleh dijual.

Harga jualan cili pula bergantung kepada dimana dan kepada siapa kita menjual cili tersebut. Untuk makluman, harga jualan cili ini mempunyai 3 kategori harga iaitu Harga Ladang, Harga Borong dan Harga Runcit. Harga Ladang adalah apabila peraih atau pembeli membeli cili dengan hadir sendiri ke kebun atau ladang. Umumnya harga ini lebih murah kerana penanam tidak mengeluarkan kos minyak untuk penghantaran. Harga Borong pula adalah apabila penanam menghantar sendiri ke penjual samaada di pasar borong atau di kedai runcit. Harga ini tinggi sedikit dari harga ladang kerana mengambil kira kos pengangkutan. Harga Runcit adalah bagi rujukan pengguna yang membeli cili secara runcit dan kecil kecilan. Selalunya harga ini yang akan menjadi ukuran bagi pembeli mendapatkan bekalan. Harga ini tinggi disebabkan kos dan keuntungan orang tengah atau pemborong yang telah diambil kira berdasarkan kuantiti yang besar manakala pembeli atau pengguna hanya membeli dengan kuantiti yang kecil. Sekiranya anda membeli cili besar di pasar borong untuk kegunaan sendiri, ianya menggunakan harga runcit. Namun sekiranya anda membeli cili dalam kuantiti yang agak besar ataupun untuk kegunaan proses semula atau jual semula, anda boleh mendapatkan harga yang sedikit kurang dari harga runcit bergantung kepada kaedah tawar menawar anda dengan penjual. Sekiranya anda menggunakan kuantiti cili yang banyak, adalah lebih baik anda berurusan dengan penanam dengan membeli terus di ladang dengan harga ladang atau berhubung dengan penanam untuk menghantar ke premis anda pada harga borong. Lebih menjimatkan. Setakat hari Selasa 18 November 2008 lepas Harga Ladang (L), Harga Borong (B) dan Harga Runcit (R) untuk setiap kilogram bagi 3 kawasan adalah seperti berikut:
Kuantan : (L) RM5: (B) RM8 : (R) RM11
Kuala Lumpur : (L) RM6: (B) RM13: (R) RM17
Terengganu : (L) RM6.3(B) RM7.5 (R) RM9
Perbezaan harga berbanding kawasan adalah disebabkan antaranya permintaan yang melebihi tawaran, pengeluaran hasil yang terjejas atau kurangnya penanam cili di sesuatu kawasan dan juga faktor sekarang yang diakibatkan kekurangan bekalan cili import terutama dari China yang mengandungi kadar melamine yang tinggi dalam sayuran dan disekat oleh Kerajaan untuk di import.
Maklumat di atas adalah sebahagian dari informasi yang perlu diketahui oleh penanam cili. Antara perkara penting lain adalah teknik penjagaan pokok yang sangat penting kerana ia akan menentukan kesihatan pokok yang menyumbang kepada kadar pengeluaran hasil yang tinggi. Untuk menerangkan semua maklumat yang perlu diketahui bagi penanam baru memang banyak. Bagi saya, ia banyak bergantung kepada pengalaman dalam mengusahakan tanaman samaada secara komersil atau kegunaan sendiri.
Saya juga bersama teman yang mengusahakan tanam secara fertigasi terbuka ini bercadang untuk mengadakan kursus antara 1-2 hari teori dan praktikal mengusahakan tanaman cili fertigasi ini InsyaAllah pada bulan Januari 2009. Cadangan tempat adalah di UPM, Serdang dengan kapasiti terhad secara bulanan. Saya akan maklumkan perkembangan mengenainya dari semasa ke semasa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...