Sponsor Ads

Khamis, 30 Julai 2009

Perkembangan Terkini

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Memang ramai telah menantikan perkembangan ataupun cerita terkini mengenai Agro Fast Forward Enterprise. Kelewatan ini tidak dapat dielakkan atas pelbagai urusan yang sangat penting.

Mengenai perkembangan perniagaan, seperti yang sebahagian anda maklum, AFFE telah mengorak langkah ke hadapan dan menjalankan kerjasama dengan Pertanian Azrin Hashim. Bagaimanapun aktiviti perladangan di tapak asal masih diteruskan seperti biasa. Untuk menjayakan agenda yang penting terutama untuk golongan muslim dan bumiputera, langkah ini kami rasakan sangat perlu kerana tawaran dan cadangan kami pada awal tahun ini masih belum bersahut. Dengan itu pada 7 April 2009, AA Agro Sdn Bhd telah ditubuhkan menggalas agenda yang lebih besar. AA Agro S/B telah memulakan langkah dengan mengadakan Projek Usahasama Fertigasi Berkelompok di Dengkil dimana AA Agro S/B bertindak sebagai Pengurus Projek dan Pemasarbagi hasil yang diusahakan di tapak projek berkelompok. Ini bagi memastikan pengusaha yang baru menceburi bidang ini berupaya berdiri dengan sokongan kami. Pada masa yang sama, kami juga telah menerima beberapa permohonan untuk kontrak ladang dimana pengusaha sedia ada ataupun pengusaha baru mengusahakan projek di kawasan masing-masing. AA Agro S/B dan pengusaha menandatangani kontrak ladang pada harga tetap RM4 sepanjang tahun berdasarkan terma yang telah ditetapkan. AA Agro S/B bertindak sebagai pemasar kepada hasil pengusaha tersebut. Kami berpendapat kaedah ini dapat memberikan lebih banyak ruang dan peluang kepada pengusaha untuk fokus kepada tugas pengeluaran hasil. Memang tidak dinafikan terdapat sebilangan pengusaha yang berpendapat menguruskan hal pemasaran sendiri adalah lebih menguntungkan daripada memberikan keuntungan kepada orang tengah. Namun, fungsi orang tengah dalam perniagaan sama sekali tidak dapat dihapuskan. Apa yang kami cuba lakukan adalah dengan berkongsi lebih banyak margin keuntungan kepada pengusaha dan mengurangkan risiko turun naik harga di pasaran.

Ramai juga akan berpendapat harga RM4 sekilogram adalah sedikit berbanding harga pasaran. Namun sekiranya anda menjalankan analisis harga sepanjang tahun, purata harga ladang adalah sekitar RM4. Kita juga perlu ingat bahawa harga cili adalah berubah-ubah mengikut keadaan pasaran. Harga yang melambung tinggi tidak berpanjangan berbandingkan harga yang jatuh sehingga berbulan-bulan lamanya. Oleh sebab harga pasaran yang tidak stabil itu telah menyebabkan ramai pengusaha terpaksa gulung tikar dan tidak sanggup bertarung dengan kerugian.

Pada minggu ke 2 bulan Julai 2009, kami telah menghadiri Seminar Pelaburan Pertanian Untuk Usahawan dan Syarikat Swasta 2009 yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian di Putrajaya. Seminar itu dirasmikan oleh YAB Menteri Pertanian sendiri. Pelbagai taklimat dan pembentangan kertas kerja telah diberikan. Ini termasuk keperluan dan peluang mengenai pembiayaan, pendaftaran MOA Inc, geran-geran dan sebagainya. Tidak dilupakan juga pengecualian cukai bagi aktiviti pertanian. Untuk detail, perlu rujuk di Business Development Center di Wisma Tani Putrajaya.

Pada 29 Julai 2009 pula saya menghadiri satu lagi Program Pembangunan Usahawan dalamSektor Pengeluaran Produk Halal & Pemasaran serta Taklimat pembiayaan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Mini Bajet untuk Usahawan Melayu. Majlis ini dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Putrajaya. Saya dapati banyak informasi berguna diperolehi. Antaranya mengenai status halal bagi pengeluaran sayur adalah tidak diperlukan kerana ia merupakan bahan semulajadi dan belum diproses. Melainkan sekiranya ianya diproses menjadi sos, maka setiap bahan yang digunakan perlulah mendapatkan sijil halal. Seperti contoh, sekiranya anda ingin mendapatkan sijil halal bagi pengeluaran produk kek, segala bahan seperti tepung, gula, rempah, susu dan sebagainya perlulah diperolehi dari sumber yang telah mendapat pengesahan halal seperti tepung yang ada halal, kilang susu telah dapat pengiktirafan halal dan sebagainya. Itu baru sebahagian proses dan belum termasuk proses pembuatan yang juga akan dinilai kebersihannya. Pendek kata proses halal itu memang banyak tetapi adalah mudah untuk memperolehinya. Caj bayaran untuk mendapatkan sijil halal bagi Industri Kecil yang jualan tahunan tidak melebihi RM500,000 adalah RM100 setahun bagi setiap permohonan. Apa yang dijelaskan adalah sekiranya anda mengeluarkan 10 produk, anda hanya perlu memohon untuk mendapatkan sijil halal bagi 10 produk dalam satu permohonan. Anda hanya perlu membayar RM100 setahun. Tetapi sekiranya anda membuatkeputusan untuk mendaftarkan setiap produk bagi setiap permohonan@10 permohonan, anda perlu membayar RM100/setahun x 10 permohonan = RM1000/setahun. Kesilapan ini memang banyak dilakukan oleh pengusaha bumiputera tetapi pengusaha bukan bumiputera menggunakan kaedah yang lebih menjimatkan.

Antara perkara menarik yang dimaklumkan adalah dari keseluruhan sijil halal yang dikeluarkan, 80% adalah milik bukan bumiputera. Ini menunjukkan bahawa masih ramai pengusaha bumiputera tidak benar-benar memahami kegunaan sijil halal dalam perniagaan. Menurut kajian JAKIM, kebanyakkan pengusaha yang telah mendapatkan sijil halal akan mengalami peningkatan hasil jualan sekitar 30% kerana pasaran muslim adalah sangat luas bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara.

Di sesi taklimat tersebut, disamping JAKIM,beberapa agensi lain seperti FAMA, BSN, AGROBANK, MARDI juga bersama menyampaikan taklimat masing-masing.

Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Dewan Perniagaan Melayu Malaysia kerana mengadakan sesi tersebut secara percuma. DPMM membawa agenda membangunkan usahawan Melayu Bumiputera bagi memastikan kuasa ekonomi tidak dimonopoli oleh kaum lain. Saya juga sangat menggalakkan usahawan melayu untuk menjadi ahli DPMM di kawasan anda agar peluang yang disediakan dapat kita rebut bersama. DPMM menjadi medan untuk kita bersuara agar lebih didengari oleh pihak berwajib.

Setakat ini dulu catatan saya, InsyaAllah akan disambung di lain masa.

Sekian wassalam.
Terdapat ralat dalam alat ini
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...