Sponsor Ads

Sabtu, 22 September 2007

Ulang Cetak Di Blog Baru

Episod 1, 25 Julai 2007

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Alhamdulillah, dapat juga aku memulakan langkah untuk mencoret kisah perjalananku dalam merealisasikan impian bergelar usahawan tani. Namun begitu, aku masih sangat sayangkan jawatan ku sebagai auditor di Kerajaan Persekutuan, Putrajaya. Aku sememangnya suka melakukan banyak kerja pada waktu yang sama. Tabiat ini telah ku tanam sejak aku mula melanjutkan pelajaran di Universiti secara separuh masa disamping kerjaya lama ku dulu sebagai kerani.


Aku telah mencuba dalam bidang MLM sehingga ahli rangkaian ku seramai lebih 200 orang termasuk rangkaian di Indonesia dan Brunei. Namun kegagalan ku temui kerana keasyikan ku dalam MLM hampir menggagalkan usahaku untuk menghabiskan pengajian Sarjana. Aku terpaksa ketepikan MLM untuk Sarjana ku dan akhirnya aku telah berjaya menghabiskan perjuanganku. November 2007 nanti aku akan naik lagi di atas pentas di Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam untuk kali ke 3. InsyaAllah, aku akan juga berusaha untuk naik ke atas pentas itu untuk kali ke 4. Masih dalam perancangan. Walaupun begitu aku masih mencari peluang untuk bergelar usahawan. Setelah puas mencari di internet, aku menemui bidang pertanian yang banyak membuka peluang baru bagi mereka yang berminat. Dalam mencari peluang di Agrobazaar, aku menemui tawaran Ahmad Nasrul dari Rawang untuk menjadi rakan niaga dengan menyumbangkan modal dalam penternakan ikan keli secara contract farming di kampungnya di Pekan, Pahang. Sebelum itu, aku memang telah terbaca di dalam sisipan Mega keluaran Utusan Malaysia hari Jumaat mengenai penternakan ikan secara kontrak oleh Syarikat Berintam. Aku juga cemburu dengan kejayaan pengusaha lain yang telah berjaya bergelar usahawan tani di dada akhbar. Ia telah membakar semangatku dan menanamkan minat kearah tersebut. Hampir 2 hari aku cuba untuk menyakinkan isteriku agar mendengar cadangan Ahmad Nasrul itu. Bak kata orang tua, cuba dapatkan sepakat agar tidak timbul pergolakan keluarga nanti sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini. Lagipun aku memang suka berkongsi apa yang aku lakukan bersama isteri kerana ini akan membuatkan kami berdua lebih bersemangat dalam tujuan yang sama. Macam rakan kongsi la juga.


Pertemuan dibuat untuk berjumpa Ahmad Nasrul di Restoran Jejantas Sg Buloh dibuat untuk mendapatkan keterangan lanjut. Hasil pertemuan itu menghasilkan persetujuan untuk bekerjasama. Dengan bermodalkan RM10,000 aku bersetuju untuk berkongsi dengan beberapa rakan Ahmad Nasrul yang lain untuk mencukupkan RM21,000 bagi satu modul penternakan berkapasiti lebih kurang 15,000 ekor ikan keli. Berdasarkan rancangan Ahmad Nasrul dan jangkaan perolehan bagi tempoh 3 tahun kerjasama, ia bakal memberikan pulangan sejumlah lebih kurang RM19,000 termasuk pulangan modal atau profit margin lebih kurang 90%. Jumlah itu lebih bagus dari pulangan Tabung Haji, ASNB atau Saham Bank Rakyat kerana pulangan tahunan adalah lebih kurang 30%. Sebenarnya peruntukan modal tu aku gunakan simpanan untuk menunaikan haji. Namun pulangan deposit di tabung haji hanya sebanyak lebih kurang 4% sahaja. Memandangkan rancangan untuk menunaikan haji adalah dalam beberapa tahun lagi, eloklah aku roling duit simpanan itu semoga pulangan tersebut boleh meningkat.


Berdasarkan rancangan Ahmad Nasrul, dia bercadang untuk melaksanakan 4 modul penternakan ikan keli di bawah kontrak Syarikat Berintam. Jumlah modal keseluruhannya adalah tidak kurang dari RM80,000. Dengan ideanya untuk berkongsi modal bersama mereka yang berminat telah menjayakan usahasama ini. Ahmad Nasrul telah mengambil Modul 1 bagi dirinya dan aku berkongsi dengan beberapa rakan lain bagi modul ke 2. Beberapa minggu selepas itu, aku mengeluarkan simpanan tabung haji isteriku untuk berkongsi bagi modul ke 3 berjumlah RM10,000. Bagi projek ini, aku telah melabur sejumlah RM20,000 pada Ahmad Nasrul untuk kerjasama ini. Aku juga telah berhubung dengan Syarikat Berintam bagi mengesahkan maklumat yang diberikan oleh Ahmad Nasrul, sebagai langkah berjaga-jaga. Ahmad Nasrul juga menyediakan perjanjian yang ditandatangani oleh rakan kongsi bagi jumlah yang dilaburkan.


Setelah beberapa minggu akhirnya peralatan tiba di Pekan, tapak projek tersebut. Projek ikan itu akan diuruskan oleh adik Ahmad Nasrul iaitu Ahmad Syaikir. Pada 14 Julai aku, isteri, pak mertua dan adik ipar aku telah bertolak dari Putrajaya untuk ke Pekan, Pahang bagi meninjau kemajuan projek di sana. Alhamdulillah, kerja-kerja tapak dan pemasangan kolam telah bermula dan pandangannya seperti gambar di bawah.





Benih ikan dijangka tiba pada minggu ketiga bulan Julai bagi modul 1 dan 2 manakala modul 3 pada miggu seterusnya. InsyaAllah, Minggu ke 3 bulan Ogos aku, Isteri dan adik ipar aku akan ke sana lagi untuk melihat lagi kemajuan penternakan ikan. Mungkin masa itu, benih ikan sudah mula membesar.


Untuk makluman pembaca, RM20,000 bagi satu modul menurut Berintam adalah bagi menampung kos antaranya untuk Kolam Kanvas serta kemudahan piping, benih ikan, bekalan makanan ikan dan beberapa bahan lain.


Setelah ikan berumur 75 hari, Berintam akan datang untuk mengambil ikan yang telah dewasa dengan harga RM5 sekilogram. Purata ikan hidup bagi tempoh 75 hari adalah 12,000 ekor dengan anggaran berat 2 tan. Jumlah tersebut bakal menjana pulangan berjumlah RM10,000. Tetapi, Berintam akan mengambil 50% bagi menggantikan anak benih ikan, kos makanan ikan dan pengangkutan. Kiranya pendapatan bersih adalah RM5,000 bagi satu musim. Dianggarkan satu tahun sebanyak 4 musim ikan dapat dihasilkan. Kiranya satu tahun boleh dapat RM20,000. Tapi perlu ditolak kos penjagaan oleh pekerja dan kos utility lebih kurang RM650 sebulan. Well, aku rasa masih berbaloi lagi.


Aku bertindak sebagai pelabur dan pada bila-bila masa boleh ke Pekan untuk membuat lawatan. Tapi yelah, mana sanggup nak ke Pekan selalu disebabkan perjalanan yang jauh. Aku kerap membawa isteri dan adik iparku sebagai peneman kerana aku mempunyai perancangan yang agak besar bagi mereka. Isteriku bakal mengawal hal berkaitan kewangan manakala adik iparku akan membantu menguruskan projek yang aku rancang. Ini sebagai pendedahan kepada mereka dunia usahawan tani.


Aku akan sambung coretan ini pada masa akan datang mengenai perancangan aku untuk diri dan keluarga bergelar Usahawan Tani.


Episod 2

27/7/07

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Aku agak kurang sibuk sekarang. Selalunya waktu malam atau luang aku akan sibuk mentelaah bahan untuk kajian atau thesis. Disebabkan aku baru sahaja habis menyiapkan thesis paper untuk Master of Accountancy di UiTM dan sedang menunggu hari konvokesyen kali ke tiga dalam hidup aku di UiTM, aku bolehlah menyibukkan diri dengan perancangan ke arah menjadi Usahawan Tani. Di samping itu, aku juga sedang menunggu keputusan dari Jabatan tempat aku berkhidmat sama ada tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran secara sepenuh masa berjaya atau tidak. Maklumlah sepanjang pengajian aku di universiti sejak Diploma lagi sehingga aku tamat program Master, aku lakukan secara part time. Sengaja tak mahu susahkan ibu bapa membiayai pengajian dan berusaha bekerja untuk menampung pengajian di samping menimba pengalaman bekerja.


Ok, berbalik kepada perancangan menjadi usahawan. Aku memang memerlukan seseorang yang boleh aku percayai dan mendengar arahan bagi menjayakan projek ini. Alhamdulillah, Isteriku Sarina dan adik iparku Azran boleh membantu aku menjayakan projek ini. Azran akan menjadi tonggak kejayaan projek ini kerana dia akan bertanggungjawab terhadap operasi projek ini. Isteriku Sarina akan menguruskan hal ehwal kewangan manakala aku bertanggungjawab dalam urusan keseluruhan terutama modal, pemasaran, kontrak dan banyak lagi. Kiranya aku jadi mastermind juga lah. Azran akan aku hantar berkursus di Jabatan Pertanian bagi latihan Usahawan Inkubator dalam bidang penanaman cili fertigasi. Aku telah menjalankan sedikit kajian mengenai cili fertigasi dan hasilnya memang memberangsangkan. Kursus tersebut adalah sepanjang 8 bulan dan akan bermula pada bulan Februari 2008 bertempat di Jabatan Pertanian di Serdang. InsyaAllah, sekiranya berjalan lancar aku juga akan menghadiri kursus penanaman cili fertigasi secara berbayar di tempat latihan swasta. Tempoh tu tak lah lama mungkin dalam 3-4 hari kot. Penting juga untuk aku tahu secara hands on bagaimana proses penanaman berlaku. Sekiranya berlaku apa-apa masalah sekurang-kurangnya aku boleh cuba atasinya. Permulaan projek cili fertigasi ni bergantung kepada hasil projek pertama nanti.


Oh ya, mungkin aku belum cerita lagi. Projek pertama yang akan dimulakan adalah Projek Penternakan Ikan Keli anjuran Berintam Holdings. Projek kedua adalah Projek Penanaman Cili Fertigasi. Tujuan aku merancang dua projek ini adalah sebagai perancangan awal diversifikasi atau mempelbagaikan aktiviti perniagaan agar perniagaan dapat berkembang dengan pantas. Ia juga bagi memastikan hasil yang diperolehi nanti dapat manambah pendapatan syarikat dan membayar gaji pekerja dengan lebih baik. Maklumlah, pekerja yang bakal digajikan adalah terdiri daripada kaum kerabat juga. Jadi gaji yang akan dibayar mestilah berpada, takut nanti ada yang mengata. Apa-apapun kena lah bersedia lebih awal. Kalau nak harapkan Projek Ikan Keli untuk 2 modul tu rasanya hanya cukup untuk menggajikan Azran je seorang.


Aku bercadang untuk mendaftarkan syarikat rakan kongsi (Partnership) yang terdiri dari 3 orang ahli iaitu aku sendiri, isteriku Sarina dan adik iparku Azran. Setiap seorang memiliki 1 bahagian. Kalau diikutkan penglibatan modal dan keutamaan adalah aku dan isteriku tetapi untuk memastikan Azran juga merasakan bahawa ini adalah perniagaan dia juga aku serahkan 1 bahagian saham kepada dia. Ini juga kerana dia bakal menguruskan operasi perniagaan di tapak. Di samping pembahagian keuntungan perniagaan, dia juga akan memperolehi gaji bulanan. Jadi berbaloi jugalah dia untuk memastikan projek ini berjaya.


Petang tadi aku singgah ke rumah mak mertua aku di Puchong dan meminta beberapa dokumen Azran untuk pendaftaran beliau menghadiri kursus di Jabatan Pertanian. Setelah pulang, aku menyambung perancangan projek ke 2. Berdasarkan kiraan, untuk permulaan 500 pokok cili mungkin memerlukan kawasan seluar 4,500 kaki persegi. Bagaimanapun itu hanya jangkaan sahaja. Aku perlu meneliti dan mengkaji keluasan yang sesuai dari internet dan sumber lain.

Sebelum ini, aku ada juga terjumpa web blog cili fertigasi yang disediakan tanpa menggunakan green house atau struktur berbumbung. Open konsep rasanya. Aku juga sedang mencari maklumat mengenai kaedah yang lebih sesuai dilaksanakan. Kalau guna konsep berbumbung, rasanya persekitaran adalah terkawal dengan jaringnya yang boleh menjauhkan serangga dari menghampiri. Yang tu aku terbaca dalam web juga. Tetapi konsep ni lebih mahal kerana infrastruktur tu saja berjumlah antara RM20 ke RM35 ribu. Tu belum masuk lagi peralatan fertigasi dan lain-lain lagi. Bila tengok konsep terbuka tu, rasanya lebih murah sebab dia hanya perlukan ruang yang rata, peralatan fertigasi dan tiada berbumbung. Namun, masalahnya adalah antaranya serangan serangga, terkena racun dari ladang berhampiran. Tak mengapa. Aku akan berusaha untuk mencari kaedah yang lebih sesuai dan dalam lingkungan modal yang berpatutan.


Buat masa ini, aku rasa penting juga aku kumpulkan maklumat mengenai ladang cili sedia ada yang berpotensi untuk dilawati dan pembekal bahan fertigasi. Aku tahu ada satu syarikat di Sabak Bernam atau Sabak Agro yang menyediakan kemudahan tersebut. Aku juga baru dapat tahu ada lagi satu syarikat di Subang Jaya menyediakan kemudahan yang sama. Mungkin sekiranya ada peluang dan masa aku akan ke tempat tersebut untuk meneliti jenis peralatan yang ada.


Pada minggu ke 3 bulan Ogos nanti aku dan isteri bercadang untuk pulang ke kampung isteriku di Chenor, Pahang untuk melihat kawasan tapak projek yang dirancang. Nak kena ukur keluasan yang ada. Disamping itu , kami akan ke Pekan, Pahang untuk meninjau perkembangan projek bersama Ahmad Nasrul.


Ini saja untuk hari ini. Aku sambung lain kali untuk renungan bersama.


Wassalam, Pertanian Satu Perniagaan
Faidzal



1/8/07
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Aku sms Nasrul pada 30 Julai 2007 untuk mengetahui perkembangan projek ikan keli kanvas. Dia maklumkan 2 kolam kanvas sudah siap manakala 1 kolam fiber diganti baru. Dijangkakan pada Selasa, orang GPM (kontraktor kolam fiber) dari Kelantan akan datang untuk memasangnya. Bagi 2 kolam yang sudah siap tu mungkin ikan akan masuk hari rabu 1 Ogos nanti. Beberapa jam lepas tu Nasrul sms lagi untuk beritahu yang Pn Jamilah dari Berintam telah mengesahkan yang benih ikan dari Kelantan akan dihantar pada 31 Julai, sehari lebih awal bagi 2 modul iaitu 30 ribu anak ikan keli. Alhamdulillah, bermula juga proses penternakan ikan keli kanvas. Nasrul juga maklumkan bahawa modul 3 dijangka untuk siap pada pertengahan bulan Ogos dan modul akhir pada akhir bulan Ogos nanti. Yelah, risau juga sebab bayaran untuk modul 2 yang aku sertai dah dibayar pada 14 Jun tetapi bulan Julai hujung baru ikan masuk. Takut lagi 2 modul akhir tu ada masalah. Menurut Nasrul, masalah kelewatan adalah disebabkan kontraktor yang dilantik Berintam tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan kerana terlalu ramai usahawan yang menyertai program tersebut di samping kelewatan kontraktor pembekal kanvas yang kekurangan stok. Nasrul pun sampai ada niat nak saman Berintam atas kelewatan pelaksanaan projek tersebut. Ini kerana Nasrul bertindak sebagai Pengurus Projek Kerjasama yang mengumpulkan pelabur. Dia juga perlu pastikan kejayaan projek tersebut kerana telah berjanji dengan pelabur untuk menjayakannya. Kos keseluruhan projek bagi 4 modul adalah RM84,000. Nasrul pun bimbang kerana dia ada perancangan lain tahun depan dan risau kalau-kalau timing lari.Kaanya nak mulakan projek penternakan ikan ketutu. Emm, banyak juga idea Nasrul. Aku pun ada projek lain juga tahun depan. Takpa,nanti kita mulakan bersama.


Pada 31 Julai, Nasrul sms lagi untuk beritahu yang 2 modul tersebut telah diisi dengan anak ikan manakala Modul ke 3 dalam proses pemasangan. Bagaimanapun, ada anak ikan yang mati disebabkan kesilapan kontraktor. Tapi nasib baik bilangan anak ikan yang mati tu tak banyak. Nasrul kata bilangan anak ikan akan dikira untuk menentukan bahawa bilangan yang mati tu tidak melebihi 10%. Sekiranya lebih 10%, Berintam akan mengganti anak ikan tersebut.


Kalau dikirakan dari 1 Ogos anak ikan masuk ke kolam,dijangkakan hasil pertama akan dituai pada 14 Oktober. Aku tanya Nasrul anggaran purata hari Berintam akan datang untuk mengambil hasil. Dia maklumkan dalam tempoh 65 hari selepas ikan tersebut berada di dalam kolam, dia akan maklumkan kepada Berintam. Hari ke 70, peringatan diberi kepada Berintam untuk mengingatkan tempoh mengambil hasil dan pada hari ke 75, Berintam seharusnya telah datang untuk mengutip hasil. InsyaAllah, dalam 20-56 Ogos aku akan ke Pekan untuk memantau proses penternakan ikan tersebut.


Pada hari ini, 1 Ogos, aku gembira kerana maklumat mengenai Gerak Usahawan Nasional 2007 anjuran MECD disiarkan dalam akhbar. Untuk makluman pembaca, pada 25 dan 26 Ogos akan diadakan program bagi menemukan usahawan dan bakal usahawan dengan potensi perniagaan dan khidmat nasihat oleh agensi kerajaan berkaitan serta pemberi pinjaman. Antara peogramyang disediakan adalah Bengkel 1: Strategi Pemasaran & Promosi Yang Berkesan dan Kos Efektif, Bengkel 2: Peluang Perniagaan: Contract Farming dan Contract Manufacturing, Bengkel 3:Melipatgandakan KeuntunganMelalui Peningkatan Produk, dan Bengkel 4: Sumber Pembiayaan Memula dan Mengembangkan Perniagaan. Disamping itu ada juga sesi bersama Dr. Irfan Khairi mengenai perniagaan internet. Diharapkan pembaca blog ini dapat menghadirkan diri ke peluang keemasan itu.


Sehingga bersambung lagi, salam hormat dan selamat malam.


2/8/07
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Ada berita buruk buat aku. Arghhh... Jabatan tempat aku bekerja tidak menyokong permohonan aku untuk mendapatkan biasiswa JPA bagi program PhD. Geram, frust, marah, cemburu semua ada bercampur baur. Maklumat yang aku dapat dari sumber yang sahih mengatakan 3 orang yang memohon PhD sekali dengan aku tidak berjaya manakala selainnya yang mohon Masters dapat semuanya termasuk yang lewat hantar pun diterima. Walaupun tajuk kajian aku adalah sangat berkaitan dengan hala tuju Jabatan, namun kecundang jua. Aku dimaklumkan antara sebab aku tak dapat adalah kerana aku baru habis Master, tunggu kerja dulu. Apa! Selama aku buat Master 3 tahun tu secara separuh masa aku tak kerja ke? Aku berjuang bermati-matian nak menghabiskan pengajian di waktu orang lain sibuk bercuti dan berehat serta berhabis-habisan berkhidmat di Jabatan hingga mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang dengan purata markah 94.3% tu pun tak bagus lagi. Dalam lapan orang calon tu markah pencapaian aku ke dua tertinggi. Tapi di mana silapnya. Aku tak rasa ada kesilapan di pihak aku dan aku merasakan Ketua Jabatan aku membuat percaturan yang silap. Mereka tidak menghargai generasi muda untuk melanjutkan pelajaran. Walaupun umur aku baru 33 dan baru 4 tahun berkhidmat dengan Kerajaan tapi tak bermaksud aku boleh diketepikan peluang itu. Mungkin mereka tak mahu ada bijak pandai dalan Jabatan kot dan mungkin juga mereka akan rasa tergugat sekiranya ramai yang bergelar Dr di Jabatan yang akan membuatkan pegawai kanan lain rasa tergugat. Hemm... segalanya mungkin.


Sebenarnya aku tak kisah sangat dengan biasiswa JPA. Namun apa yang penting adalah masa 3 tahun untuk aku menumpukan perhatian menyiapkan Thesis. Walaupun begitu aku akan buktikan bahawa mereka semua silap untuk tidak menyokong permohonan aku itu. Aku akan buktikan tanpa bantuan Jabatan pun aku mampu untuk melaksanakan apa yang aku rancang. Aku akan mencipta sejarah yang akan aku jaja sepanjang hidup aku. Perjalanan seorang pekerja dan pelajar bermula dengan Diploma Perakaunan di UiTM secara Part time, Ijazah Perakaunan pun Part Time, Sarjana (Master) pun Part Time dan Kedoktoran (PhD) pun Part Time. Aku terpaksa memulakan semula kegiatan malam dan hujung minggu yang sibuk untuk belajar. So aku dah mulakan pagi ini 3/8/2007 dengan bangun seawal mungkin untuk buat apa yang patut.
Aku ada lagi cerita nak beritahu tentang penemuan berguna untuk projek Fertigasi Cili yang semalam dah aku selidiki. Tetapi sekarang dah hampir pukul 7.30 pagi dan aku nak pergi kerja. Nanti aku sambung lagi. Sangat menarik cerita tu.

Sehingga itu, Selamat berjuang teman-temanku semua...


4/8/08
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Alhamdulillah, selama 2 hari ni aku dah mula bangun awal pagi untuk meneliti bahan bacaan untuk PhD aku. InsyaAllah aku akan jumpa Lecturer n Supervisor aku masa Master, Dr Asmah pada 24 Ogos untuk bertanyakan pendapat mengenai kajian aku nanti.

Ok, sambung cerita pada 2 Ogos yang lepas. Petang tu Sarina nak ke TmnWarisan di Presint 16 dengan hajat nak beli Roti John je sebab kat Putrajaya ini hanya di situ sahaja yang ada jual Roti John. Apabila sampai di sana, wah....ada jualan buah-buahan anjuran FAMA. Aku pun apa lagi pergilah meronda-ronda. Sekali tu aku jumpa satu booth yang display cili fertigasi. Eh! Menarik ni. Aku belek-belek bahan yang ada di sana. Agak terkejut juga aku sebab semaklum aku cili fertigasi akan memberikan hasil antara 5 ke 8 kilo. Tetapi ada satu promosi baja daun yang boleh memberikan hasil cili tersebut antara 15 hingga 20 kilo. Biar betul!! Dia guna Baja Foliar Bio Organik dengan Brand GANDA Super. Harga yang pekat tu RM75 untuk 500ml yang boleh digunakan sebanyak 250 liter. Yang tu adalah teknologi pertanian dari Thailand. Mungkin itu antara sebab hasil dari Thailand besar dan banyak. Bila ada musim buah je, kebanyakannya dari Thailand. Bagus juga untuk dicuba. Katanya penggunaan baja tu disiram atas daun kerana ia akan menyerap dari daun seminggu sekali untuk cili. Tapi kalau tengok gambar cili hasil dari baja tu mengejutkan. Ada yang besar tapak tangan dan panjang 2 kali ganda. Kalau nak jual kat pasar, mesti tak laku tapi kalau untuk penggunaan komersil atau kilang memang bagus. Emm.. mulakan dengan pasaran biasa dulu lepas tu bila dah dapat network untuk pasaran komersil, aku akan pertimbangkan penggunaan baja tu. Buat masa ini bagi projek cili pertama tu mungkin boleh guna 2 – 4 minggu sekali ke atau jarakkan penggunaan takut terlebih sihat.


Di samping tu aku pun belajar satu lagi teknik untuk menghasilkan pokok yang sihat iaitu penggunaan baja untuk tanah. Biasa kita dengan baja untuk pokok je. Baja ni namanya TONMAI Baja Organik (Baja Pulih Tanah) Dari namaje aku rasa satu lagi teknologi Thailand digunakan. Baja ini dihasilkan dengan menggunakan nutrien makro dan mikro bermutu tinggi, mikrob bermanfaat, enzim, protin, zat galian, vitamin dan asid amino. Maklumat tu aku dapat dari pamplet yang ia bagi. Untuk penanaman cili, baja ini perlu digunakan semasa penyediaan tapak atau dicampur dengan media diperingkat awal. Boleh cuba nanti. Kedua-dua bahan tadi di edarkan oleh HSRL Plantation Sdn Bhd


Satu lagi penemuan pada hari tu yang menarik adalah Pakej Penanaman Cili. Ada 3 pakej yang disediakan.


Pakej A (RM6,000)
1. Penyediaan media tanaman dan peralatan untuk 1,000 pokok(sekam, anak pokok, piping, polibag, tong baja, pam, timer, tray dan sub strat);
2. 1 set baja untuk 10,000 liter
3. Kelas teori dan latihan praktikal di ladang.
Pakej ini termasuk pemasangan di tapak. Apa yang perlu kita sediakan hanyalah tapak yang sesuai. Keluasan bagi 1,000 pokok adalah ¼ ekar atau 11,000 kps. Katanya kalau kat Pahang tu mungkin kena tambah kos lori atau pengangkutan saja.


Pakej B (RM4,000)
1. Setiap penambahan 1,000 pokok
2. 1 set baja untuk 10,000 liter

Pakej C (RM380)
1. Kelas amali dan latihan di ladang selama 2 hari
Mengikut anggaran 1 ekar, sebanyak 1,000 pokok boleh ditanam. Pakej penambahan B hanya boleh dibuat sehingga jumlah keseluruhan pokok 4,000 sahaja dengan menggunakan peralatan yang sama dari pakej A.


Ini sudah kira menyelesaikan masalah aku untuk mencari semua bahan dan memasang sendiri. Kalau pasang sendiri, banyak lagi yang aku perlu kaji. Paken ini disediakan oleh Agro-Go Sdn Bhd di Kajang.


Disamping itu, aku juga baru confirm dengan En Zul tu sebab dia pun ada ladang di Kajang tu. Kalau pakai sistem terbuka iaitu takda bumbung, hasil cili adalah sekitar 2 kilo saja. Tapi mengikut sistem fertigasi sebenar yang berbumbung serta bertutup sekelilingnya ia akan menberikan hasil antara 5 hingga 8 kilo. Hmmm... aku rasa aku akan gunakan modified plan aku iaitu Konsep Berbumbung Diubah Suai. Net tu memang aku kena pasang sekeliling untuk mengelakkan serangga yang besar masuk dan merosakkan tanaman, disamping tu perlu juga guna racun serangga untuk mengawal serangga yang kecil. Net di bumbung juga aku akan pasang. Tapi frame nya aku taknak gunakan aluminium sebab mahal sangat nanti. Asalnya aku nak gunakan buloh sebab kat tapak projek tu memang banyak pokok buloh di tepi sungai. Tetapi masih kurang ketahanannya. Orang yang promote Baja Foliar tu suggest gunakan kayu bakau. Dia kata boleh dapatkan dari kedai Hardware. Tempah pada kedai tu dan diorang akan carikan. Harganya sekitar RM0.80 tapi tak tahu untuk panjang mana. Hmm... itulah kelebihan untuk mengkaji sistem sebelum melaksanakannya agar kos tak meletup.


Kalau Pakej tu dah memang sedia dan dalam bajet, aku mungkin akan mulakan serentak dengan projek ikan keli kanvas tu. Tak lah nanti masa Azran dibuang begitu saja. Penjagaan ikan tu sangat minima mungkin antara 2 jam keseluruhan proses sehari, kalau dia kat kampung nanti baki masa tu nak buat apa kan... boring pulak nanti. Tu yang nak maksimumkan penggunaan masa dia. Disamping itu pendapatan yang akan diperolehi juga akan bertambah terutama elaun rakan kongsi nanti sebab itu bergantung dengan hasil keseluruhan.


Walau apapun, aku kena usaha dapatkan kaedah pemasaran. Aku kena jumpa pegawai FAMA untuk melihat peluang contract farming yang FAMA sediakan. Sekurang-kurangnya peringkat permulaan, pemasaran dah settle. Mungkin hasil sedikit berbanding kalau pasarkan sendiri tetapi lebih baik dari takda pasaran langsung.


Aku memang seronok tengok rancangan usahawan aku tu dah ada rangka dan dagingnya pun dah aku isi sikit-sikit. InsyaAllah bila tiba tahun depan bulan Jun, aku dah boleh mula laksanakan perkara asas tu.


Di samping tu aku tak lupakan juga Part Time PhD aku tu... jalan memang kena jalan. Projek belajar dan usahawan tu kena aku laksanakan serentak. Aku nak buktikan pada Jabatan aku yang aku berupaya untuk mancapai impian bergelar doktor falsafah tanpa bantuan Jabatan disamping tugas sedia ada.


InsyaAllah aku akan sambung lagi. Tak sabar nak tunggu 25 Ogos nanti untuk mengintai peluang usahawan lain di PWTC.
Wassalam...


22/8/2007

Assalamulaikum dan salam sejahtera.
Dah lama aku tak tulis untuk blog ini. Sibuk dengan kerja di pejabat, meeting sana, meeting sini, pastu sibuk cari bahan untuk buat research proposal phd dah banyak lagi program lain.


Hari ini aku dan isteri, Sarina bercuti untuk ke Pekan, Pahang melihat perkembangan projek ternakan ikan keli yang dah hampir 2 minggu tu. Di samping itu nak hantar pak mertua aku ke Chenor, Pahang. Dia pulang ke Puchong bagi menghadiri perkahwinan sepupu Sarina, Sarawati yang mengakhiri zaman anak daranya dengan Izam.


Beberapa hari lepas aku ada telefon Syaikir menanyakan perkembangan ikan di sana. Dia kata stok makanan yang Berintam bekalkan telah habis dan dia terpaksa beli makanan ikan di kedai haiwan. Katanya dia beli 3-4 beg, satu beg 20 kilo. So 80 kg makanan ikan dibeli. Makanan tu juga untuk ternakan ikan keli yang dia pelihara sendiri berasingan dari kontrak Berintam. Semalam aku telefon Berintam dan bercakap dengan Cik Elly di Bahagian Operasi. Dia kata makanan tu dah dihantar ke Pekan dalam 50 beg. Sebelum ni 25 beg telah diberi. Cik Elly katasatu modul akan dibekalkan 35 beg makanan. Bermakna 15000 ekor ikan akan makan 700 kilogram palet untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 2,000 kilogram ikan. Aku pun bertanya tentang Modul ke 3 yg sekarang ni masih belum jalan lagi. Dia kata Modul 3 akan dipasang pada 28 Ogos nanti. Cik Elly juga kata dia akan berada di PWTC 25 Ogos ni. Nanti boleh aku tanya banyak perkara lagi.


Perjalanan aku ke sana ditemani kebanggaan hasil kreativiti dan semangat kemerdekaan yang tinggi. Lihatlah hasilnya. Mesti canggih kan dibawa berjalan di lebuhraya sepanjang perjalanan ke Pekan, Pahang.

1/9/2008
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Aku minta maaf kerana tempoh menyambung coretan tu agak lama. Antara sebab adalah kesibukan kerja di pejabat dan persediaan untuk menyambung pelajaran. Hasil pengauditan yang aku dan kumpulan jadi berita hangat yang menarik banyak perhatian. So kena buat extra kerja on that.

Task aku ke Pekan berjalan lancar kecuali jem sikit kat KL masa nak ke sana. Sampai di sana dalam pukul 1 petang. Ini adalah kawasan kolam tersebut. Setibanya kami ke sana, Sarina bergegas ke kawasan kolam tu excited nak tengok kolam ikan dan anak-anak ikan yang sedang membesar. Tak lama lepas tu Syaikir keluar dan beri penerangan tentang keadaan kolam tu. Sarina pun dengan tak sabarnya nak tengok anak ikan tu. Ha... macam dalam gambar tulah saiz anak ikan yang ada dalam kolam. Aku pun tanpa membuang masa lagi mengambil seberapa banyak gambar untuk rujukan sendiri. Tengok-tengoklah yer.






Seperti yang aku jangka, memang terdapat masalah dalam menjaga ikan tu. Syaikir kata penapis air untuk kolam tu tak memenuhi keperluan kolam tu. Air kolam tetap bewarna hijau walaupun ditapis setiap 15-30 minit. Sepertidi gambar, terdapat dua penapis kolam bagi 2 modul. Masalahnya bila air flows in, yang masuk melalui penapis tu perlahan sangat dan outflows pula menggantikan air yang disedut. Syaikir kata di susah nak bergerak sangat sebab kena jaga penapis tu takut air dalam kolam kering dan air di penapis melimpah keluar bila disedut keluar ke penapis. Macammana Berintam punya sistem ni? Masih tak stable lagi ker..Syaikir kata dia akan cuba ubah suai penapis tu untuk kesesuaian. Harap-harap menjadi.





Yang ni bekalan makanan ikan yang baru tiba beberapa hari lalu. Makanan yang dibekalkan sebanyak 750 kg untuk 1 modul. So semua makanan dah dibekalkan semuanya.

Pulang dari Pekan, aku dan Sarina terus menghala ke Chenor untuk menghantar pak mertua ke kampung. Sambil tu ambil kesempatan untuk melawat kawasan tapak projek yang bakal kami jalankan.

Ni bahagian hadapan kawasan projek. Aku berdiri di tengah kawasan projek sebelah rumah Tok yang bersempadan dengan tanah abah.





Yang ni gambar sisi belah kanan kawasan tapak projek. Rumah tulah rumah Tok yang akan aku jadikan tempat penginapan sementara bagi Azran sementara kumpul duit untuk membaiki rumah tu lebih selesa.




Pak mertua aku yang biasa dengan panggilan abah pun excited bila tahu aku dan isteri nak buat projek di kampung. Beriya-iya di tunjukkan kawasan tapak tanah dia. Yang ni gambar sempadan belah kanan tanah. Lebarnya kata abah dalam 24 depa, kira-kira 50 meter kot.

Selesai aku dan Sarina hantar abah ke kampung, kamipun bergerak ke pekan Temerloh untuk menginap semalam. Sampainya di tempat tu aku terjumpa beberapa kedai yang menjual bekalan dan perlatan berkaitan pertanian. Hemm.... mudahlah nak dapatkan bekalan peralatan nanti bila projek mula. Aku nak survey nanti peralatan yang dia ada.

Lawatan ke Pekan dan tapak projek di Chenor was a success.


25/8/2007


Pada 25 Ogos 2007 bermula lagi satu hari penting untuk projek aku. Gerak Usahawan Nasional 2007 di PWTC. Aku dan Azran akan ke sana untuk mengikuti taklimat keusahawanan yang disediakan.




Tak sangka juga ramai orang yang datang. Kira masa sidang tu penuhlah kerusi yang disediakan. Aku duduk di sebelah 2 orang yang agak muda dalam lewat 20an khusyuk mendengar taklimat tu. Lepas taklimat tu aku ambil kesempatan denga Azran melawat booth Berintam. Aku tak dapat bertanya kerana orang yang menjaga gerai Berintam sibuk melayan prospek. Lagipun muda-muda pulak budak yang jaga tu. Malas pulak aku nak kacau.


Aku pun singgah ke booth ternakan ikan kerapu. Sempat juga aku tanya dan diasediakan projek macam Berintam tapi guna ikan kerapu. Katanya bekalan tu untuk eksport ke China sebab stok sana tak cukup. Tapi masalahnya kena duduk di Pulau Pangkor dan jaga ladang di sana. Masalah lah tu. Hasilnya pulak dalam 20-30 % pulangan. Lebih kurang dengan berintam juga.



Hari ke 2, 26 Ogos 2007

Aku ke Gerak Usahawan Nasional bersendirian. Lebih mudah sebab aku boleh bergerak tanpa kisahkan orang lain. Memang banyak aku nak buat hari tu. Lepas dengan tentang Program pembiayaan dari Tekun, Mara dan SMIDEC, aku sambung mendengar taklimat mengenai Usahawan Pemasaran oleh KSU Kementerian. Malaysia memang kekurangan usahawan pemasaran yang mengumpul produk sedia ada dan dipasarkan ke luar negara. Katanya ada beberapa kontrak luar negara yang diperolehi oleh syarika tempatan semasa promosi tapi tak dapat bekalkan sebab stok tak mencukupi. Mana taknya,bila dapat tempahan,diorang nak 3-4 kontena kerepek sebulan untuk bekalan pasaran di sana. Mana nak cari sebanyak tu? Bekalan ubi tak cukup sebab production tak dirancang dengan lebih awal. Kalau kes tu memang perlu contract farming supply bahan mentah untuk syarikat tu. Sebab tu Kementerian pun menggalakkan contract farming. Jadi usahawan pemasaran ini memang menarik juga tapi bila tengok syaratnya, 5 tahun dalam perniagaan tu dan beberapa syarat lain, aku kena pendamkan. Mungkin kalau akan datang ada peluang, aku pun boleh buat. Takpa buat mana ang perlu dulu. Lepas tu aku ke Klinik Usahawan untuk bertemu wakil FAMA, Bank Pertanian, MARA, Penasihat MECD dan Jabatan Pertanian. Tapi sebab masa tu dan kul 4 lebih, aku batalkan untuk jumpa wakil Jabatan Pertanian lepas agak lama juga 15-30 minit menunggu.


Aku singgah ke Booth Koperasi Usahawan Tani (KUAT) yang ada sub koperasi KOSAYO bagi pertanian jenis sayuran. Aku tanya pegawai yang bertugas disitu. Katanya pegawai sayur tu takda buat masa tu. Jadi yang ada untuk Koperasi Landskap. Dia punya presiden koperasi. Dia kata koperasi sayur tu memang ada beli secara kontrak jenis fertigasi dan cili tu dalam harga RM4 sekilo. Tapi tu kena jumpa pegawai berkenaan. Dia juga cadangkan untuk menanam buloh untuk menghasilkan rubung untuk dijual. Katanya maintenance kos hanya meracun je dan takda risiko sakit lain. Senank nak diuruskan dengan modal kurang RM5,000 dan kon bulanan RM300, hasilkan dapat selepas 8 bulan anggaran 60 kg seminggu bagi 1 ekar tanaman buloh. Aku fikir untuk sampingan memang berbaloi tapi untuk utama letih sikit sebab pulangan tak banyak. Gambarnya seperti di bawah. Rebung tu harga pasaran sekilo RM10. Dia kata dengan seekar, untuk pasaran Temerloh pun tak cukup. Akan aku fikirkan kemudian.


Follow up yang akan aku buat adalah untuk bertemu dengan pegawai FAMA di pejabatnya yang menguruskan contract farming penternakan dan pertanian. Di samping tu aku akan berhubung dengan KOSAYO untuk maklumat contract farming lagi.


1/9/2007
Pada 1 September 2007, aku, Sarina dan Azran ke ladang Agro-Go yang aku ceritakan di Kajang dulu. Aku dah telefon Abang Hasnan untuk temujanji dalam pukul 1. Konsep yang dia gunakan adalah sistem fertigasi terbuka. Hasil purata adalah antara 2.5 kg sepokok yang dipasarkan secara borong dengan harga RM5/ kg. Pasaran adalh terdiri dari pasar borong berdekatan, kedai-kedai berhampiran. Purata kutipan hasil seekar adalah 50 kg yang dikutip selang sehari. Pertemuan tu mengambil masa 1.5 jam dan banyak yang aku tanya. Dia juga akan menggunakan alat fertigasi yang diubahsuai bagi mengelakkan dripper tersumbat akibat air yang kotor yang menyekat ruang zigzag dalam dripper tu. Itu yang dinamakan inovasi. InsyaAllah, lepas raya nanti aku balik kampung dan cari sesapa yang ada back hoe di Chenor untuk meratakan tanah. Di KL kos back hoe lebih kurang RM300 sehari. Sebahagian gambar di tapak AgroGo Sdn Bhd. Pokok cili tu dah hujung musim dan akan diganti baru lepas puasa nanti.







Abang Hasnan juga disamping tu membuat pembenihan udang galah seperti yang dalam kolam fibre tu. Katanya setiap musim hanya 50,000 benih udang berjaya dihasilkan dan masih tak dapat memenuhi permintaan benih udang galah yang semakin meningkat.




Sekian saja buat masa ini..ulang cetakan dan akan disambung dari semasa ke semasa...nantikan perubahan terhadap perancangan asal dan kursus cili fertigasi sesi malam.....


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

assallammualaikum.seronoknya.taniah atas rezeki allah swt.mcm sya,brminat nk bljar dlm pntnian tpi xthu mna nk mulakn.umo bru 18,tgh krja sbgai guru agama d tdika swsta.tpi mmg nk bljar slk blk ttg prtnian nih lgi2 mak sya pnyai tnah yg myb ssuai dlm prtnian.jika leh bgi pndpat,sila bgi yer kat email maswani@ymail.com
terima ksih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...