Salam Sejahtera,
Banyak perkara yang berlaku sejak kebelakangan ini. Namun yang ingin saya kongsikan adalah yang baru berlaku.
Diwaktu yang luang, saya suka mencuba buat makanan yang saya dan keluarga suka tapi untuk mendapatkannya kena beli di kedai.
Kali ini makanan yang berasaskan soya. Ya, kacang soya yang banyak kegunaannya. Boleh dibuat Tempe, Air Soya, Taufufa, Tauhu dan banyak lagi.
Sebelum ini saya sendiri telah mencuba membuat air soya dan taufufa. Namun yang berjaya hanyalah air soya manakala taufufa kekurangan bahan pentingnya iaitu ‘sekko’. Bahan-bahan dan caranya saya belajar dari sumber internet yang banyak.
Cubaan pertama dulu agak sukar kerana saya terpaksa mengupas kulit kacang soya yang direndam hanya 4 jam dan mengambil masa sehingga 3-4 jam sambil-sambilan untuk habis mengupas sebiji-sebiji. Sampai tangan kecut lah katakan.
Untuk cubaan kedua, saya telah membeli lebih kurang 400gm kacang soya. Kemudian, pada 20 Jun lalu, saya Berjaya mendapatkan ragi tempe dan serbuk ‘sekko’. Kedua-dua bahan tersebut diperolehi di Puchong iaitu ragi tempe 500gm dari seorang pengusaha tempe. Ragi tersebut boleh digunakan bagi 250kg kacang soya (2gm/1kg soya). Fuhh, rasanya dah boleh buka perusahaan tempe. Takpa, simpan stok, dan bila-bila rasa nak makan tempe, boleh buat sendiri. Terjamiin kebersihannya. Manakala serbuk sekko pula adalah bahan utama untuk menyediakan taufufa dibeli di kedai ubat cina di Kinrara, Puchong. Memandangkan agak sukar awalnya saya nak dapatkan sekko, saya terus beli 200gm. Itupun stok banyak, saja simpan untuk guna akan datang. Bila dah jadi nanti, boleh buat menu khas utk family gathering, Tempe Bakar, Goreng, dan taufufa Putrajaya.
Pada malam 20 Jun tu, terus rendam kacang soya. Target 24 jam, dan keesokkan malam tu baru projek tempe. Tepat pukul 9 mlm 21 Jun, bermula kerja membersihkan kulit kacang soya yang telah lembut dan pisahkan dari isinya, dibasuh bersih beberapa kali dan direbus lebih kurang 30-40 minit, Lepas itu dicampur dengan sedikit serbuk ragi tempe, diratakan dan dibungkus dengan daun pisang dan surat khabar serta sebahagian lagi guna plastic air batu. Tugas selesai pukul 12 mlm dan diletakkan di rak di dalam rumah pastu kena tunggu 36 jam baru matang dan sedia untuk digoreng.
Malam semalam, 22 Jun dah ada tanda-tanda kulat putih hendak menjadi, soya tu pun rasa suam-suam panas. Isteri antara percaya dan tak percaya tempe akan menjadi & Mak mertua kata, yelah tu buat tempe. Dia tak percaya, lelaki kerja pejabat yang banyak main computer dan pen boleh buat tempe hanya berpandukan internet. Namun kepercayaan mak mertu meleset pagi tadi apabila isteri membelek soya dah kelihatan banyak kulat putih dah meliputi kacang soya. InsyaAllah, malam ni akan dirasmikan Tempe Putrajaya buatan sendiri.
Projek buat taufufa hanya boleh dilakukan pada hujung minggu kerana banyak kerja yang perlu dilakukan. Maklumlah, jantan nak buat kerja dapur lah katakan.
Ok, itu jer dulu.